Raja Petra: Kalau kerja senang membangkang pun tak dapat, macam mana nak memerintah?

KUALA LUMPUR, April 14 — Pakatan Rakyat (PR) masih gagal bersatu berikutan percanggahan ideologi antara ketiga-tiga parti selain pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang keupayaan menjaga parti, kata Raja Petra Kamarudin dalam satu temubual di TV3 malam tadi.

Beliau yang juga rakan karib Anwar pada suatu ketika dulu memberitahu, ketua pembangkang itu tidak mampu menguruskan Selangor selain gagal membentuk kerajaan pada 16 September 2008 menyebabkan pengundi semakin hilang kepercayaan terhadap pembangkang.

Raja Petra , yang merupakan pengendali blog Malaysia Today itu menuduh Anwar gagal melaksanakan ‘janji-janji kosong’ yang dicanang-canangkan semasa pilihan raya umum 2008.

“Jadi, jika pembangkang tidak dapat buktikan kebolehan mereka, bagaimana rakyat nak yakin dengan keupayaan mereka menubuhkan kerajaan, kerana jadi pembangkang senang, hanya bangkang tapi tak perlu laksana.”

“Tapi bila jadi kerajaan, kita perlu laksanakan, kritik senang tapi kita nak laksankaan apa yang cakap itu yang susah, jika jadi pembangkang pun sudah gagal, apatah lagi bentuk kerajaan,” katanya dalam sesi temubual ekslusif bahagian kedua yang disiarkan oleh saluran berita kerajaan, TV3.

PR merupakan gabungan tiga parti iaitu PKR, DAP dan PAS yang ditubuhkan tidak lama selepas pilihan raya umum 2008.

“Namun jika jadi parti pembangkanng pun sudah gagal, sudah pasti rakyat tidak yakin dengan keupayaan mereka menubuhkan kerajaan. Ramai orang bersuara kepada saya, mereka sudah tidak yakin dengan pembangkang.”

Blogger itu menambah, kegagalan PR melaksanakan pembentukan kerajaan pada 16 September 2008 dan kegagalan menubuhkan kabinet bayangan telah menjadi punca rakyat hilang kepercayaan dan sokongan kepada pembangkang.

“Dan oleh kerana isu 16 September di mana ramai orang percaya janji Anwar termasuk saya, yang pada masa itu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting.”

“Anwar datang jumpa saya di mahkamah dan beritahu jangan susah kerana “tak lama lagi awak akan keluar sebab kita akan bentuk kerajaan pada 16 September,” kata Raja Petra.

Bekas editor Suara Keadilan itu turut menuduh Anwar menafikan hak ahli-ahli parti untuk bersuara, dan apabila ada sesiapa pemimpin yang bersuara mengkritik pemimpin parti, tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Di Selangor, Datuk Hasan Ali keluar dengan kenyataan yang berbeza dari dasar kerajaan, Hasan Ali cakap itu dasar PAS, tetapi PAS pula kata itu pandangan peribadi..,bahkan PAS tidak bersetuju.

 

Raja Petra berkata, satu isu yang cukup jelas mengambarkan kegagalan PR dalam mentadbir Selangor ialah berhubung isu penjualan arak pada 2009.

“Orang sudah keliru, boleh ke tak boleh, yang ini kata boleh, yang tu cakap rampas,  satu lagi cakap tak boleh rampas yang ni kata  serah balik tak boleh rampas, jadi Anwar Ibrahim sepatutnya jadi penasihat negeri Selangor.”

“Ada pernah dia keluar kenyatan ini dasar kita?, tidak, sementara yang dibawah bergaduh. Ini bukan contoh kepimpinan yang baik. Pemimpin mesti tahu bagaimana untuk mengawal anak-anak buahnya,” katanya.