Parti komponen BN diingatkan agar tidak ‘kacau daun’ di konstituensi SPDP

Ahli SPDP yang hadir ke mesyuarat SPDP Bahagian Marudi.

MARUDI 5 Mei– Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengingatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain agar tidak ‘kacau daun’ di konstituensi SPDP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) nanti.

“Jika ada tangan yang nakal mahu campur tangan dan apabila tindakan itu memakan diri sendiri, jangan salahkan orang lain,” kata Timbalan Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, setakat ini parti sudah menghantar beberapa senarai calon yang berpotensi untuk bertanding di konstituensi SPDP, namun keputusan sama ada calon tersebut bertanding atau sebaliknya, belum dimuktamadkan.

“Kita memang sudah ada beberapa calon yang layak. Berdasarkan maklumat yang saya terima, calon Baram ialah Dato Jacob Dungau Sagan manakala calon Mas Gading pula akan ditukar,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SPDP Bahagian Marudi di Rumah Morgan, Sungai Nyipa, Marudi hari ini.

Dalam pada itu, Tiong yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mengingatkan rakyat di Baram agar meneruskan sokongan terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Baram, Dato Jacob Dungau Sagan untuk meningkatkan majoriti.

“Saya menyeru Wanita dan Pemuda SPDP untuk membantu sepenuhnya melindungi semua kerusi yang ditandingi dan meningkatkan majoriti kemenangan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk peralatan PA System.

Leave a Reply