Oleh Hazel Lee
MIRI – Kerajaan tidak pernah menyekat rakyat di negeri ini menggunakan blog untuk mengutarakan pandangan mengenai pembangunan, namun biarlah tindakan itu berdasarkan fakta dan kebenaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia berkata, walaupun setiap pandangan yang diutarakan tidak semestinya memihak kepada kerajaan sepanjang masa, namun blogger harus saksama tanpa menyinggung perasaan pihak lain.
“Sebagai blogger, kita tidak dapat menjangkakan semua orang akan bersetuju dengan pandangan kita. Namun janganlah kita menjadikan blog itu untuk menimbulkan perasaan benci dan kemarahan pihak lain terutama kerajaan,” katanya.
Andy berkata demikian semasa berucap pada majlis ulangtahun laman portal dan blog RumahDayak.Com di sebuah hotel di sini malam tadi. Hadir sama pengasas portal RumahDayak.Com, James Joshua Guang.
Beliau tidak menafikan, terdapat segolongan blogger begitu lantang menggunakan ruang siber itu untuk melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Mereka melemparkan pelbagai tuduhan dan kata-kata kesat memarahi kerajaan, walhal usaha membawa pembangunan itu tidak semudah mereka (blogger) mengutuk.”
“Sikap sebahagian blogger yang menggunakan kata-kata kesat itu bukan menunjukkan jati diri kita sebagai rakyat Sarawak yang berlemah lembut dan bersopan santun,” katanya.
Dalam hal ini, Andy mahu rakyat lebih berhato-hati sebelum memberi komen atau pandangan serta memahami apa yang sebenarnya berlaku kerana usaha membawa pembangunan tidak berlaku sekelip mata.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha RumahDayak.com yang menjadi wadah kepada golongan belia Dayak untuk bertukar-tukar pandangan mengenai idea-idea pembangunan bernas.
“Saya berharap, lebih ramai blogger menggunakan blog masing-masing untuk tujuan yang membina dan positif,” katanya.
Sementara itu, James Joshua berkata, sejak ditubuhkan pada 2005, laman portal itu bukan sahaja menjadi medan pertukaran idea, malah turut bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti amal.
“Antaranya menderma pakaian untuk kaum Penan di Ulu Baram dan mangsa kebakaran di Miri. Selain itu program motivasi untuk pelajar-pelajar Dayak di bandar dan luar bandar.”
Jelas James, keunikan RumahDayak.com ialah konsepnya yang sederhana yang mana kebanyakkan ahli-ahlinya adalah golongan belia Dayak dan kaum etnik yang lain di merata dunia.
“Kita galakkan generasi muda menubuhkan blog sendiri untuk mengutarakan pandangan bernas terhadap isu-isu semasa. Namun saya nasihatkan agar mereka bersikap lebih tanggungjawab dalam meletakkan komen atau gambar,” ujarnya.