Statistik Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar setakat ini menganggarkan terdapat sejumlah kira-kira 4,200 buah rumah panjang di seluruh Sarawak. Sejak 1976 sehingga Disember tahun lepas, kerajaan mengeluarkan sejumlah RM68.48 juta dalam bentuk pinjaman untuk membangun sejumlah 467 rumah panjang yang mengandungi 10,452 pintu atau bilik. Dalam hal ini, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif untuk membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak dengan lebih tersusun dan terancang, termasuk membabitkan pembangunan rumah-rumah panjang masyarakat kaum Dayak. Sehubungan itu, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan konsep pembangunan rumah panjang moden yang mengutamakan ciri-ciri keselamatan dan sejahtera tanpa mengorbankan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan tradisional kaum bumiputera di Sarawak. Baru-baru ini, Seminar Konsep Baru Pembangunan Rumah Panjang telah diadakan di Kuching, Miri dan Sibu bagi mendapatkan maklum balas dan idea daripada rakyat bumiputera yang diwakili ketua Masyarakat dan Ketua Masyarakat. Lima usul baru dibentangkan semasa seminar iaitu penggunaan bahan binaan tahan kebakaran, pemberian hak milik tanah pada setiap pintu, semak semula had pinjaman setiap pintu, kekalkan institusi ketua kaum di setiap rumah panjang dan adat resam serta budaya turun temurun. Namun belum pun konsep itu dilaksanakan, ramai masyarakat Dayak khususnya di kalangan generasi baru tidak begitu setuju dengan konsep baru tersebut. Isu hangat itu diperdebatkan di alam maya melalui laman sosial Facebook dan laman web komuniti ‘Membantah Konsep Rumah Panjang’ yang setakat ini mempunyai 505 keahlian. Ikuti randau wartawan Utusan Borneo, SUDAN AJANG dengan JAMES JOSHUA, iaitu pemilik forum RumahDayak.com yang juga pengurus operasi laman web komuniti ‘Membantah Konsep Rumah Panjang’.

Utusan Borneo (UB): Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan konsep rumah panjang baru, apakah pandangan anda ini?
JAMES: Secara tradisinya, masyarakat Dayak terutama kaum Iban tinggal di rumah panjang dan ia diwarisi sejak turun temurun. Cadangan untuk memperkenalkan konsep baru ini pada dasarnya baik, namun beberapa aspek perlu diambil kira sebelum ia boleh dilaksanakan. Saya sendiri sudah melihat pelan rumah panjang baru yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar. Berdasarkan seminar yang diadakan di Miri baru-baru ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan sebelum konsep itu dilaksanakan. Umum mengentahui, kaum Iban amat berpegang teguh dengan adat dan pantang larang dalam mendirikan dan mendiami rumah panjang.
UB: Isu berkaitan Konsep Baru Pembangunan Rumah Panjang ini begitu hangat diperdebatkan di media terutama laman sosial Facebook. Apakah kelemahan konsep rumah panjang baru itu?
JAMES: Tidak dinafikan, konsep ini mendapat pelbagai reaksi khususnya daripada generasi muda kaum Iban. Harus diingat, mereka (generasi muda) inilah yang akan tinggal di rumah panjang konsep baru ini nanti, jika ia dilaksanakan. Ada keraguan mengenai rekabentuk rumah panjang baru itu. Satu daripadanya berkaitan reka bentuk rumah panjang. Setiap bahagian rumah panjang mempunyai peranan dan fungsi tertentu untuk menjalankan aktiviti keagamaan dan bersosial. Dalam hal ini, setiap reka bentuk rumah panjang perlu dirujuk dengan amalan, adat dan tradisi masyarakat Iban. Namun setelah meneliti pelan dan rekabentuk rumah panjang yang baru semasa seminar yang lalu, saya berpendapat ia banyak kekurangan dan tidak mengambarkan rumah panjang kaum Iban lagi. Sebagai contoh,bahagian ruai yang merupakan bahagian paling penting seolah-olah ‘dipisahkan’. Sedia maklum, ruai amat penting untuk upacara kematian, perkahwinan, majlis keramaian dan menyambut tetamu. Struktur ruai harus mengambil kira keduduakn tempat duduk kaum wanita dan juga kaum lelaki, mengikut adat-istiadat masyarakat Iban semasa amalan, adat dan tradisi dijalankan. Namun berdasarkan pelan baru, kedudukan ruai tidak lagi mengambarkan ruai yang sepatutnya kita ada sekarang. Mengikut pelan yang dibentangkan tempoh hari, rekabentuk ruai menyamai balkoni atau patio. Pembaca bayangkan sendiri, bagaimana penduduk rumah panjang mengadakan upacara semasa kematian di ruai seperti balkoni.
Selain itu, cadangan untuk membahagikan bilik kepada beberapa bahagian seperti rumah teres di bandar adalah tidak perlu. Ini hanya menambah kos pembinaan dan membebankan pemilik. Rekabentuk baru itu tidak memenuhi kriteria atau standard yang memenuhi keperluan adat dan tradisi Iban di rumah panjang. Sebaliknya rekabentuk yang dikemukakan tidak ubah seperti apartmen. Ini bukan pandangan peribadi saya sahaja, bahkan pandangan masyarakat Iban yang lain seperti dinyatakan dalam Facebook.
UB: Bagaimana pula isu berhubung pemberian hak milik tanah pada setiap pintu?
JAMES: Bahagian ini menarik dan manis kedengaran. Kita bersetuju dan berharap hak milik tanah ini tidak dipindahkan kepada orang lain kecuali ahli keluarga berdaftar yang menghuni rumah panjang tersebut. Paling penting, hanya individu atau ketua keluarga yang berdaftar dengan Pejabat Daerah layak diberi surat hak milik. Selain itu, surat hak milik harus juga diberikan kepada mereka yang mempunyai rumah sendiri (tidak bersambung), namun masih dibawah tuai rumah yang sama. Bagi rumah panjang yang sudah wujud, kita berharap kerajaan tidak terlalu banyak kerenah atau birokrasi. Sukat sahaja tanah rumah panjang tersebut dan berikan surat hak milik. Namun pemberian surat hak milik ini membabitkan rumah panjang dan rumah persendirian yang banyak, bukan sahaja kaum Iban bahkan kaum lain seperti Melayu dan Bidayuh. Mungkin kerajaan boleh menubuhkan sebuah Unit Khas atau kementerian baru untuk menjaga kebajikan rakyat yang terlibat. Sebagai contoh, kementerian perumahan (rumah panjang dan kampung). Setakat ini, Kementerian Perumahan hanya mampu menyelia dan menguruskan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR), itupun tidak banyak jumlahnya.
UB: Bagaimana pula mengenai isu pemberian pinjaman dan sekuriti/insuran kebakaran?
JAMES: Ia perkara yang baik, namun saya berharap pinjaman itu datang dari Kementerian Perumahan, bukan dari bank. Sekurang-kurangnya kementerian mempunyai dasar tolak ansur dan lebih murah berbanding bank. Kita tidak mahu pinjaman bank itu nanti membebankan kaum Iban di rumah panjang terutama yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Justeru pinjaman itu wajar disediakan oleh pihak kementerian. Sekurang-kurangnya jika peminjam pertama tidak dapat menyelesaikan bayaran, kementerian boleh memindahkan pinjaman kepada ahli keluarga berdaftar yang lain. Kita mahu pinjaman daripada kerajaan, sebagaimana skim RPR sekarang. Berkaitan perlindungan insuran kebakaran dan sekuriti dalam rekabentuk baru ini, ia satu perkembangan yang baik dan memanfaatkan penduduk rumah panjang.
Untuk rumah panjang yang sudah wujud, kita berharap polisi insuran am dapat digunakan untuk melindungi rumah panjang tersebut. Maksudnya satu polisi insuran kebakaran am untuk seluruh rumah panjang. Ia mesti menguntungkan kedua-dua belah pihak.
UB: Begitu banyak komen serta pandangan diluahkan dalam Facebook dan web “Membantah Konsep Rumah Panjang”. Apakah antara cadangan mereka terhadap konsep baru ini?
JAMES: Keseluruhan konsep ini baik kerana ia meberi nilai kepada tanah dan harta benda (bilik), namun rekabentuknya perlu dikaji semula secara mendalam. Rakyat sudah tentu gembira sekiranya melihat rekabentuk baru ini terlebih dahulu sebelum ia dihantar ke kerajaan negeri untuk diluluskan. Seperti yang ditegaskan awal, setiap bilik mempunyai fungsi tertentu. Jika disebabkan faktor kebersihan atau bising, ia boleh ditangani melalui peraturan dan undang-undang rumah panjang. Ia bukan faktor untuk menukar keseluruhan rekabentuk rumah panjang. Rekabentuk perlu dikaji dan tidak terlalu mahal. Sebagai contoh, pelan rekebentuk pilihan satu yang menelan kos kira-kira RM95,811 sepintu, pilihan kedua (RM81,504 sepintu) dan rumah panjang alternatif baru anggaran RM226,768 sepintu. Ini terlalu mahal bagi penduduk rumah panjang. Setiap penduduk rumah panjang memerlukan bilik besar seperti yang ada sekarang, kerana ia melambangkan perpaduan. Di situlah mereka berkumpul. Sekiranya konsep itu ditukar seperti rumah teres, ia tidak mencukupi. Walaupun ia dikatakan privasi, namun ia tidak sesuai dengan budaya kaum Iban. Alangkah bagusnya jika rumah panjang baru tersebut dibuat seperti rumah kedai, lebih murah dan luas. Selebihnya biar mereka (penduduk rumah panjang) menentukan sendiri bagaimana untuk mengatur konsep dan rekabentuk dalaman di dalamnya. Saya percaya, cara ini lebih mudah diterima oleh mereka.
UB: Bagaimana pula pendapat James mengenai mengenai seminar tersebut? Adakah ia cukup memberi maklumat dan sampai kepada golongan sasaran?
JAMES: Kita menyeru kerajaan agar menjemput generasi muda untuk menghadiri seminar seumpama ini pada masa akan datang. Ini kerana, sebarang keputusan berhubung konsep itu nanti akan memberi impak besar kepada masa depan mereka. Kita bukan menyisihkan pendapat atau tidak menghormati golongan tua, namun generasi muda inilah yang akan meneruskan kesinambungan adat dan budaya di rumah panjang. Mereka harus dilibatkan dan diberi peluang memberi pandangan dalam perkara ini. Kita harap, khalayak atau audien yang dijemput dibuat secara rambang, bukan dipilih semata-mata berat sebelah. Kita mahu seminar tersebut lebih teratur. Kertas kerja yang dibentangkan juga harus lengkap dan menepati adat rumah panjang, bukannya sekadar melepas batuk ditangga. Secara peribadi, seminar yang lalu kurang keserasian dan semangat berpasukan diantara ahli panel. Kita berharap perkara ini diberi perhatian serius.
Hanya mendapat LAMPU HIJAU daripada TUAI RUMAH/PENGHULU.. tapi tidak mendapat LAMPU HIJAU daripada penduduk. tidak nemu apa mahu sakap..
Angkatan Zaman Mansang will be compiling the feedbacks from those attending the seminars. Their CEO is on facebook. Good to connect with her to follow up on this proposals that you may have.
What is her username in Facebook? We can tag her to the group.
Macam-macam perkembangan di Menua diatu ..apoooo…wopuchi tau
bekeni aku ka reply loan agai RPR…?