Oh YB, if you can’t drink it, what makes you think we can?

Lain diminta lain dihantar

2009-08-20-SEPUPOK-01

Walaupun dijanjikan dengan bekalan air bersih, namun masalah kekurangan air yang dihadapi penduduk di rumah panjang Skim Rancangan Sepupok dan Suai masih berlarutan berikutan air yang dihantar tidak selamat untuk diminum.

Penduduk Rumah Panjang Selan Undau ketika dihubungi berkata, air yang dihantar menggunakan tangki itu tidak selamat diminum kerana ia dipam terus dari sungai.

“Apabila dijanjikan bekalan air, kita mengharapkan ia adalah air bersih dan selamat digunakan. Rupa-rupanya air sungai yang kekuningan dan berkelodak.”

”Jika begini, tiada bezanya kita mengambil air dari sungai-sungai berhampiran,” katanya sambil menambah setakat ini mereka sudah menerima dua tangki air sungai.

Sementara itu penduduk dari Rumah Panjang Ngindang Entili yang berhampiran berkata, nasib mereka lebih buruk kerana sehingga hari ini mereka belum menerima bekalan bekalan air hatta setitis.

”Kami difahamkan ketua rumah baru menulis surat dan mengisi borang permohonan. Sepatutnya dalam keadaan begini, kerajaan perlu mempercepatkan bantuan tanpa perlu melalui prosedur-prosedur yang remeh dan menyusahkan penduduk kampung,” katanya.

Ketua Rumah Panjang Ekok Junau dari Suai pula memberitahu, nasib mereka seperti sudha jatuh ditimpa tangga kerana mereka juga belu mendapat bantuan dan keadaan bertambah buruk apabila satu-satunya sungai di kawasan mereka dicemari oleh kilang kelapa sawit.

”Mujurlah dua dalam tempoh tiga hari hujan turun. Kami tiada pilihan selain menadah setiap titis air hujan untuk keperluan harian.”

”Namun jika musim kemarau kembali, kami terpaksa menggunakan air sungai yang sudah tercemar,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan sepatutnya proaktif dalam menyebarkan maklumat mengenai bantuan mendapatkan bekalan air.

Sementara itu, seramai 3,629 penduduk di Niah yang menghadapi kekurangan bekalan air ekoran musim kemarau sejak tiga minggu lalu menerima bantuan bekalan air pada minggu lepas.

Dalam pada itu, Bilik Operasi Bencana Alam Miri ketika dihubungi memberitahu, mereka tiada menerima aduan mengenai kekurangan air sejak hujan turun beberapa hari lalu.

Source: Sarawak Update