Are you a Hantu Net?

Hantu-net cuma tahu kutuk kerajaan, Jabu

Source: SarawakUpdate.com

Individu atau kumpulan yang sering menghentam kerajaan menerusi laman web atau blog perlu dilabel sebagai ‘Hantu Net’ selepas ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Alfred Jabu anak Numpang.

Ini kerana golongan terbabit katanya telah menyalahgunakan blog atau laman web untuk mempengaruhi minda pengguna internet yang lain bagi membenci kerajaan yang sedia pada masa sekarang.

“Golongan terbabit tidak berhenti mengulangi fitnah mereka untuk memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dikalangan pengguna internet yang lain menerusi blog dan lain-lain laman web di internet selama ini.

“Inilah pihak yang boleh saya labelkan sebagai ‘Hantu Net’. Tindakan menghentam kerajaan menerusi internet tidak akan mendatangkan simpati rakyat kepada golongan terbabit sebaliknya akan dianggap mendatangkan idea tidak bernas oleh orang lain selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Permodenan Pertanian berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Istiadat Perlantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) bagi Tahun 2010 – 2011 di Dewan Masyarakat Engkilili, Sri Aman hari ini.

Golongan terbabit kata Jabu pula haruslah mengutarakan idea serta kritikan yang membina kepada kerajaan menerusi blog atau lain-lain laman web yang terdapat di internet.

Jika internet digunakan secara baik maka hasilnya akan menjadi lebih baik juga. Jadi daripada menghentam kerajaan atau ahli politik menerusi internet adalah lebih baik sekiranya mereka mengutarakan idea yang cukup bernas bagi membangunkan negeri ini.

“Jangan menghina atau menabur fitnah tanpa usul periksa di internet. Tindakan sebegini tidak akan mendatangkan hasil dan keuntungan kepada diri golongan itu sendiri,” menurut beliau.

Terdahulu, beliau berkata kerajaan Negeri akan menggunakan pendekatan Pelan Pembangunan Pusingan Dua Tahun (Two Years Rolling Plan) untuk menjayakan perlaksanaan projek pembangunan di negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Jabu berkata Pelan Pembangunan Pusingan Dua Tahun akan membolehkan kerajaan menimba lebih banyak pengalaman bagi membangunkan negeri ini menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat selepas ini.

“Pelan Pembangunan Pusingan Dua Tahun ini amat diperlukan bagi membangunkan negeri khususnya kawasan luar bandar secara berkesan menerusi peruntukan yang disalurkan pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 kelak.

“Untuk itu Kerajaan Negeri akan menilai progres pembangunan yang berlangsung dalam seluruh kawasan Sarawak menerusi peruntukan yang sedia bagi tempoh dua tahun pertama ini iaitu 2011-2012,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Istiadat Perlantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) bagi Tahun 2010 – 2011 di Dewan Masyarakat Engkilili, Sri Aman hari ini.

Pengalaman yang ditimba oleh kerajaan pada dua tahun pertama ini nanti kata Jabu akan digunakan oleh kerajaan untuk mencari strategi terbaik bagi membangunkan Sarawak bagi tempoh tahun 2013 hingga 2015 di bawah RMK10.

“Kerajaan Negeri seterusnya akan mensasarkan liputan pembangunan secara menyeluruh terhadap semua rakyat dalam negeri ini khususnya dari kawasan luar bandar menerusi RMK11 iaitu dari tahun 2016 hingga 2020.

“Justeru saya meminta kerjasama semua pihak iaitu ketua kaum dan rakyat dalam negeri ini untuk sama-sama membantu kerajaan bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pusingan Dua Tahun dan seterusnya pembangunan menyeluruh Sarawak menjelang tahun 2020 ini kelak,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Setiausaha Tetap Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Dr Penguang Panggil, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengerusi MDLA, Nelson Mujah Girie, Setiausaha MDLA, Jaimie Lolita James dan Walikota Sri Aman, Piau Inggot.

Seramai 26 orang ahli majlis, MDLA mengangkat sumpah pada majlis itu. Empat dari 26 orang majlis berkenaan adalah muka baru bagi mengantikan empat orang ahli majlis yang telah bersara.