Usaha MASwings memperkenalkan penerbangan terus dari Kuching ke Limbang sebanyak tiga kali seminggu sejak 3 Januari lalu mendapat reaksi positif rakyat di utara negeri ini.
Penerbangan yang dilancarkan bermula Tahun Baharu 2019 akan memudahkan penduduk di daerah ini untuk membuat perjalanan melalui udara terus ke Kuching.
Penerbangan sulung MASwings bagi laluan LimbangKuching ( MH 3811) dan Kuching-Limbang (MH 3810) akan mengambil masa satu jam 35 minit setiap Isnin, Khamis dan Sabtu.
Bagaimanapun, harga tiket bermula dari RM280.18 untuk satu laluan itu disifatkan amat membebankan khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Bagi Kapitan Ang Chiw Kiam, penerbangan terus itu memudahkan orang ramai terutama penduduk Limbang yang ingin ke Kuching.
Sebelum ini katanya, penduduk Limbang terpaksa pergi ke Miri menggunakan jalan darat yang memakan masa hampir tiga jam untuk menaiki penerbangan dari Miri ke Kuching.
“Ini satu berita gembira buat penduduk Limbang yang ingin menggunakan jalan udara untuk ke Kuching tanpa melalui Miri,” katanya kepada media semalam.
Beliau berkata, ketiadaan penerbangan terus dari Limbang ke Kuching menyukarkan penduduk di sini yang tidak mempunyai pilihan dengan menggunakan penerbangan dari Miri sebelum ini.
“Bagi yang berdepan kes kecemasan, laluan ini mampu meringankan beban mereka selain menjimatkan masa,” jelasnya lagi.
Selain itu kata Ang, kawasan luar bandar termasuk Limbang memiliki banyak potensi dari segi pelancongan, terutama destinasi ekopelancongan, justeru laluan udara itu mampu menarik pelancong tempatan dan asing untuk melawat kawasan utara termasuk Limbang.
Sementara itu, Sarinah Kepli, 42, dari Kampung Bukit Kota berkata, laluan udara itu pastinya akan memberi kemudahan kepada penduduk di Limbang yang tersepit di antara negara jiran, Brunei.
Selain jalan darat katanya, penduduk kini mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan udara ke Kuching.
Beliau yang juga Bendahar Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak ( PPWS) Bukit Kota bagaimanapun berharap agar MASwings dapat mengurangkan harga tiket daripada yang dikenakan sekarang.
Kata beliau, golongan pelajar yang belajar di Kuching juga kerap menggunakan penerbangan ini.
“Harga tiket penerbangan lebih murah sudah tentu bermakna beban kewangan juga akan berkurangan bagi mereka yang sering menggunakan penerbangan ini terutama golongan pelajar,” katanya.
Pada masa ini katanya, tambang penerbangan untuk perjalanan di Sarawak mahal dan dengan keadaan jalan kurang baik, yang memerlukan masa pemanduan selama lebih 16 jam dari Limbang ke Kuching, maka mungkin kerajaan boleh menimbang untuk mengurangkan tambang bag penerbangan itu.
Source: Utusan Borneo