Tag Archives: Marudi

Parti komponen BN diingatkan agar tidak ‘kacau daun’ di konstituensi SPDP

Ahli SPDP yang hadir ke mesyuarat SPDP Bahagian Marudi.

MARUDI 5 Mei– Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengingatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain agar tidak ‘kacau daun’ di konstituensi SPDP dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) nanti.

“Jika ada tangan yang nakal mahu campur tangan dan apabila tindakan itu memakan diri sendiri, jangan salahkan orang lain,” kata Timbalan Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, setakat ini parti sudah menghantar beberapa senarai calon yang berpotensi untuk bertanding di konstituensi SPDP, namun keputusan sama ada calon tersebut bertanding atau sebaliknya, belum dimuktamadkan.

“Kita memang sudah ada beberapa calon yang layak. Berdasarkan maklumat yang saya terima, calon Baram ialah Dato Jacob Dungau Sagan manakala calon Mas Gading pula akan ditukar,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan SPDP Bahagian Marudi di Rumah Morgan, Sungai Nyipa, Marudi hari ini.

Dalam pada itu, Tiong yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) mengingatkan rakyat di Baram agar meneruskan sokongan terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Baram, Dato Jacob Dungau Sagan untuk meningkatkan majoriti.

“Saya menyeru Wanita dan Pemuda SPDP untuk membantu sepenuhnya melindungi semua kerusi yang ditandingi dan meningkatkan majoriti kemenangan,” katanya.

Pada majlis yang sama, Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk peralatan PA System.

Sylvester Entri dinasihat supaya jangan main kayu tiga

Dato Seri Tiong King Sing berucap ketika perasmian mesyuarat SPDP Bahagian Marudi.

PEKAN BELURU, 5 Mei – Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri Tiong King Sing menyelar tindakan Datuk Sylvester Entri Muran, seorang daripada anggota SPDP 5 yang mendesak rakyat menyerahkan Kad SPDP mereka dan mengisi borang Kelab Barisan Nasional (BN) Sarawak jika mahu permohonan projek luar bandar mereka diluluskan.

Tiong yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, semua projek yang dikendalikan oleh BN adalah bertujuan untuk membantu rakyat dan boleh didapati tanpa sebarang syarat.

“Tindakan Sylvester ini tidak ubah seperti, menyuruh si suami menceraikan si isteri jika mahu projek yang dimohon diluluskan,” katanya berucap merasmikan Pejabat SPDP Bahagian N66 Marudi di Marudi hari ini.

Ujar Tiong, SPDP yang ditubuhkan pada 2002 pernah menjadi sebuah parti yang bersatu-padu, namun baru-baru ini keadaan bertukar kecoh dan keliru yang dicetuskan oleh Kelab BN Sarawak.

“Mereka (Kumpulan 5) mendakwa menyokong BN, namun apa yang mereka lakukan sebenarnya adalah mensabotaj. Sebagai contoh, apabila SPDP menganjurkan aktiviti, mereka juga menganjurkan aktiviti yang sama. Sebagai contoh, apa yang berlaku di Rumah Joshua baru-baru ini.”

“Nasihat saya kepada Sylvester, jangan bermain kayu tiga. Saya pernah diberitahu bahawa Sylvester pernah memberitahu kepada Presiden parti Tan Sri William Mawan Ikom bahawa beberapa ahli parti mahu menyokong SPDP daripada segi kewangan dengan syarat saya dipecat.”

Menurut Tiong, namun Mawan enggan walaupun adalah adil untuk mendedah dan mencabar Sylvester memberi keterangan mengenai perkara itu.

“Mawan seorang yang ‘gentlemen’ dan budiman pada 2009. Sepatutnya Sylvester menghargai. Malah beliau menekankan pentingnya semua kaum termasuk Orang Ulu walaupun minoriti menjawat jawatan tinggi dalam parti untuk mewakili etnik mereka.”

“Mereka (Kumpulan 5) bercakap memang mudah, namun saya cabar, jika benar-benar menyokong BN mengapa tidak hadir dalam acara atau majlis SPDP-BN?.”

Ujar Tiong, sebagai pemimpin yang berdedikasi, ahli parti tidak harus menyempitkan fikiran, semangat perkauman dan gila kuasa.

Sementara itu, kira-kira 3,000 datang menghadiri majlis perasmian termasuk 57 tuai rumah. Seramai 2,000 ahli baharu juga direkrut pada majlis tersebut.