Women gets better representation in Sarawak

Tiada kaitan pilihan raya: KM

by Saibi Gi, Patricia Gari dan Rengenyan Labang
Source: Utusan Borneo
March 26, 2010, Friday

Rombakan kecil kabinet tidak boleh dianggap sebagai usaha BN raih semula sokongan

KUCHING: Rombakan kecil Kabinet Negeri semalam ti-dak boleh dianggap sebagai usaha Barisan Nasional (BN) meraih semula sokongan rakyat di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini ditakluki pembangkang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, rakyat Sarawak selama ini menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan BN berdasarkan rekod lampau pembangunan dan keprihatinan terhadap masalah rakyat.

“Kekalahan di beberapa  kawasan (pada pilihan raya negeri 2006) bukan kerana ketidakyakinan rakyat terhadap kerajaan. Tetapi disebabkan ada segelintir pihak yang melakukan undi protes,” katanya.

Pada sidang media bagi mengumumkan rombakan kabinet di Wisma Bapa Malaysia semalam, beliau berkata undi protes itu cuma berlaku di beberapa kawasan DUN di Kuching.

Beliau menegaskan, tidak ada parti lain di Sarawak mampu membentuk kerajaan.

Hanya BN berupaya mentadbir dan melaksanakan pembangunan di negeri ini, tambahnya.

Taib diminta mengulas mengenai kaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Tan Joo Phoi sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar).

Tan yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dikaitkan dengan usaha parti itu meraih semula sokongan pengundi Cina, terutamanya.

Pada pilihan raya negeri 2006, SUPP tewas di lapan kawasan daripada 19 kawasan yang diperuntukkan kepadanya.

Kawasan-kawasan yang tewas di Kuching ialah Padungan, Pending, Batu Lintang dan Kota Sentosa. Di tempat lain ialah Engkilili, Meradong, Bukit Asek dan Kidurong.

Taib berkata: “Saya mendengar nasihat daripada rakan-rakan Cina bahawa kita perlu mempunyai orang yang mempunyai kedudukan (dalam kabinet) daripada SUPP.”

Mengenai tarikh pilihan raya negeri, beliau dalam nada berseloroh berkata: “Belum lagi, tengok muka anda (wartawan) lama-lama barulah ada (ilham).”

Menerusi rombakan kecil kabinet yang diumumkan oleh Taib semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Datin Fatimah Abdullah dilantik menjadi Menteri di Pejabat Ketua Menteri, ADUN Batu Kawa Tan Joo Phoi sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri.

Manakala ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Adenan Satem menjadi Penasihat Khas bertaraf menteri di Pejabat  Ketua Menteri.