JKM tolak permohonan bekas Ranger Sarawak, Ranger Lima anak Agong

Gambar hiasan dari Robert Rizal Abdullah

MIRI, 23 September – Usaha kerajaan membawa pulang rangka 21 ‘Bujang Berani’ atau pahlawan Iban dan Sarawak Ranger yang terkorban sewaktu menentang pengganas komunis sekitar 1948 hingga 1963 dipuji, namun perlu ada usaha untuk membantu mereka yang masih hidup.

Presiden Persatuan Dayak Miri (DAM), Ellison Ludan Muyan berkata, kebajikan bekas Ranger Sarawak yang masih hidup juga perlu diambil kira di atas jasa serta sumbangan yang mereka berikan dulu.

Saya terpanggil membuat kenyataan ini kerana baru-baru ini bekas Sarawak Ranger, Ranger Lima anak Agong datang berjumpa saya untuk minta tolong mengisi borang bantuan di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana permohonan itu ditolak,” katanya hari ini.

Menurut Ludan, beliau difahamkan bahawa Lima hanya menerima bantuan sebanyak RM75 sebulan sebagai bekas Sarawak Ranger yang sebelum ini hampir terbunuh mempertahankan negara daripada serangan pengganas Komunis.

“Selain Lima, ayah saya iaitu Tuai Rumah Muyan turut mendapat nasib yang sama. Saya pasti kerajaan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik untuk pahlawan Iban dan Sarawak Ranger yang membantu Semenanjung Malaysia bebas dari Komunis.

“Lagipun, tidak ramai mereka yang masih hidup hari ini. Beritahu saya, apa yang anda dapat lakukan dengan duit RM75 sebulan, ini tidak memadai dengan pengorbanan yang mereka lakukan,” tegasnya.

Ujar Ludan, kerajaan juga perlu mengambil kira untuk menjemput mereka semasa sambutan Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun sebagai tanda penghargaan di atas jasa mereka.

“Walaupun mereka sudah tua, namun sekurang-kurangnya mereka dijemput dan ini pastinya menggembirakan mereka,” kata Ludan.

Leave a Reply