Masih relevankah SUPP atau parti baru satu jawapan?

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — Berikut peralihan sokongan pengundi Cina pada pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas, adakah parti kaum Cina yang baru dan pro Barisan Nasional (BN) boleh menyelesaikan pelbagai rungutan masyarakat Cina di negeri itu dengan kepimpinan negeri dan Kerajaan Pusat serta menjadi jawapan kepada permasalahan berkenaan?

Idea ke arah sebuah parti baru itu timbul berikutan musibah yang melanda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selepas hilang 13 daripada 19 kawasan bandar majoriti pengundi Cina ditandinginya, yang dilihat ramai orang termasuk dalam kalangan BN sendiri, sebagai satu penolakan besar-besaran pengundi terhadap SUPP.

Timbalan Pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Johny Wong tidak yakin ia jawapannya kerana parti kaum Cina yang baru bagi menggantikan SUPP tidak akan dapat mengatasi permasalahan yang timbul apatah lagi ia diusahakan oleh bekas pemimpin SUPP dan anggota parti itu.

“Cerita yang sama akan berulang dan sebarang langkah untuk membentuk sebuah parti kaum Cina yang baru mestilah datang dengan perubahan kepimpinan secara menyeluruh,” katanya ketika diminta mengulas cakap-cakap politik bahawa sebuah parti baru kaum Cina akan diwujudkan bagi menggantikan SUPP berikutan kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya negeri ke-10.

SUPP yang bertanding di 19 kerusi hilang 13 daripadanya, kebanyakannya kepada DAP. Daripada enam kerusi yang dimenangi SUPP, hanya dua merupakan kawasan majoriti Cina – Bawang Assan yang dimenangi Datuk Sri Wong Soon Koh dan Senadin oleh Datuk Lee Khim Shin.

Satu lagi faktor, sebagaimana diutarakan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching dan Samarahan, Dr Chou Chi Ming adalah bahawa pengundi tahu kebanyakan calon DAP merupakan calon berpotensi tetapi sebaliknya bagi calon SUPP.

Beliau berkata pengundi mahu mengenali dan memberi peluang kepada calon-calon berpotensi, tidak mengira parti mana mereka wakili.

“Adakalanya barangan atau jenama baru bukannya sesuatu yang orang ramai mahukan. Perlu wujud satu keadaan hubungan sesama insan dan untuk memiliki nilai itu, calon-calon berpotensi itu mestilah berada bersama rakyat buat satu jangka waktu,” katanya.

Selain itu, beliau percaya SUPP mempunyai publisiti yang buruk, dan mereka juga gagal bertindak menangani dengan pantas.
“Jika dianalisis dengan teliti, propaganda dan slogan yang dimainkan parti pembangkang tidak realistik, tetapi berjaya menjualnya ketika kehangatan pilihan raya, terutamanya apabila SUPP tidak melakukan yang sepatutnya untuk mengatasinya dengan pantas,” katanya.

Namun, Dr Chou percaya bahawa masyarakat Cina Sarawak tidak gelabah dan tergesa-gesa mahu membentuk parti baru kerana mereka masih mempunyai peluang penting bagi membina semula SUPP dan memberikan parti itu nafas baru dengan perubahan ketara pucuk kepimpinannya.

“Muka-muka baru adalah satu perkara tetapi lebih penting mereka mestilah daripada peringkat akar umbi dan hidup bersama dalam kalangan masyarakat setempat serta membesar dengan mereka dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa usaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menampilkan muka baru dalam barisan calon parti itu untuk digandingkan dengan sebahagian muka lama yang dikekalkan ternyata langkah tepat, dan memberi keyakinan kepada pengundi sekaligus memenangi kesemua 35 kerusi ditandinginya.

Banyak penganalisis politi tempatan berkata semasa pilihan raya negeri 2006, pengundi telah memberikan amaran pertama kepada SUPP dan bahawa mereka tidak suka kepada apa yang dilakukan parti itu selepas tewas lapan daripada 19 kerusi ditandingi.

Mereka juga berkata parti itu lemah kerana pertelingkahan dalaman sebelum kehilangan sokongan PBB berhubung isu dasar tanah.

Selepas pilihan raya negeri Mei 2006, SUPP dilihat berupaya bergerak ke hadapan dengan pelan pemulihannya, berdasarkan kepada prestasi pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan parti itu menang enam kerusi Parlimen dan hanya tewas satu, kerusi Bandar Kuching kepada DAP.

Namun, pelan itu dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya dan pertelingkahan dalaman terus berlaku, menyebabkan banyak pengundi melihat parti itu sebagai “lemah dan pemimpin parti hanya sibuk menyelamatkan kedudukan masing-masing”.

Tanggapan oleh pengundi Cina itu menjelaskan kenapa mereka mengalih sokongan kepada pembangkang pada pilihan raya kecil Sibu tahun lepas, menyebabkan SUPP kalah di kubu kuatnya dengan majoriti tipis kepada DAP, sebuah parti politik yang berpusat di Semenanjung.

Pemerhati politik berpendapat di sebalik “amaran kedua” itu, ramai pemimpin SUPP masih tidak berubah, dan yang paling menyedihkan parti itu dilihat banyak menabur janji-janji kosong menyebabkan pengundi berasa dipinggirkan.

“Ini membuat mereka menyampah, dan itulah sebabnya ramai pengundi terutamanya di kawasan bandar membuat keputusan malahan sebelum pilihan raya negeri diadakan,” kata pemerhati politik yang tidak mahu dikenali.

Telah banyak diperkatakan mengenai politik masyarakat Cina, dan kini terserah kepada SUPP untuk benar-benar mendengar suara dan aspirasi kaum Cina Sarawak jika parti itu tidak mahu terkubur buat selama-lamanya. — BERNAMA

Leave a Reply