BN kerah 40,000 Pemuda

KUCHING, 2 April (Bernama) — Seramai 40,000 anggota Pemuda Barisan Nasional (BN) akan digerakkan dalam usaha mendekati setiap pengundi terutamanya golongan muda bagi membantu jentera BN menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak Datuk Fadillah Yusof berkata tumpuan jentera Pemuda adalah untuk menangkis fitnah pembangkang di samping menerangkan dengan lebih mendalam mengenai dasar yang dibawa BN.

“Berdasarkan jumlah pengundi muda yang merangkumi 35 peratus daripada keseluruhan 979,796 pengundi di Sarawak, maka kita akan memastikan golongan ini tidak mudah terpengaruh dengan usaha pembangkang memesongkan pemikiran mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Jentera Pemuda BN Sarawak di Kampung Sourabaya, di sini hari ini.

Pelancaran yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, turut dihadiri Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, timbalannya Datuk Razali Ibrahim serta penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Fadillah yang juga Anggota Parlimen Petra Jaya, berkata kempen ini akan memastikan golongan muda daripada setiap kaum tidak dipinggirkan.

“Kita tidak akan melihat latar belakang mereka, sebaliknya kita akan berjumpa dengan setiap kaum bagi memastikan dasar kita sampai kepada mereka dan pada masa yang sama kita pastikan tidak akan kaum yang ketinggalan daripada segi pembangunan di negeri Sarawak,” katanya.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 6 April manakala hari pengundian 16 April. – BERNAMA

 

Leave a Reply