RD kids learn the ajat

Memelihara tarian ngajat

Oleh RANIA PARAN
utusansarawak@utusan.com.my

MIRI 5 Ogos – Tarian ngajat adalah identiti utama masyarakat Iban yang menjadi kebanggaan Sarawak. Keunikan dalam setiap persembahan tarian ngajat menjadikan suku kaum ini terlalu istimewa dan tersendiri.

Keindahan tarian ngajat yang terdapat dalam masyarakat ini adalah unik dan asli kerana ia merupakan identiti komuniti Iban yang penuh dengan dunia mistik dan keajaiban.

Dahulu, ngajat bagi orang Iban adalah sejenis tarian pahlawan tradisional kaum Iban sebelum dan selepas berperang atau ‘ngayau’ dalam bahasa Iban.

Namun, kini tarian itu selalu dipersembahkan semasa musim perayaan seperti Gawai Dayak yang menandakan berakhirnya musim menuai pada 1 Jun setiap tahun.

Bagi memelihara keunikan dan keindahan tarian ngajat, Persatuan Dayak Miri (PDM) mengambil inisiatif mengadakan kelas ngajat yang diadakan di Ruai Francis Loke, Bangunan PDM di Jalan Merpati di sini.

Pengerusi penganjur Kelas ngajat 2010, Roseline Minggang berkata, ia diadakan setiap tahun bertujuan melatih dan mengajar generasi baru agar tarian tradisi ini tidak pupus ditelan zaman.

Bercakap semasa perasmian kelas itu baru-baru ini, Roseline berkata, kelas berkenaan diadakan selama dua bulan mulai 1 Ogos lalu dan dibahagi kepada kategori lelaki dan wanita.

‘‘Tiada had umur ditetapkan memandangkan kita mahu semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum menyertai kelas ini.

‘‘Setakat ini kita menerima kira-kira 70 peserta termasuk lelaki dan wanita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Roseline berkata, kelas ngajat itu diadakan setiap Isnin hingga Khamis mulai pukul 7.30 malam hingga 9.30 malam manakala Sabtu bermula pukul 4 petang hingga 6 petang (lelaki) dan Ahad pada pukul 4 petang hingga 6 petang (wanita).

Katanya, kelas ngajat untuk lelaki diadakan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu manakala wanita pada Isnin, Rabu dan Ahad.

‘‘Kita mengenakan bayaran yang cukup rendah iaitu RM25 untuk ahli-ahli PDM manakala bukan ahli RM50 manakala kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun ialah RM50,” katanya.

Orang awam masih boleh membuat pendaftaran dengan menghubungi Roseline di talian 019-8761068 atau datang sendiri ke pejabat PDM.

Katanya, PDM amat berbangga dapat menganjurkan kelas ngajat saban tahun dan usaha ini sejajar dengan matlamat persatuan untuk memperkasakan budaya warisan nenek moyang.

‘‘Melalui kelas ini, kita berharap dapat melahirkan kumpulan penari ngajat pelapis agar kebudayaan ini tidak dilupakan.

‘‘Kita amat berbesar hati kerana usaha menghidupkan budaya ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, tarian ngajat dibahagikan kepada pelbagai jenis tarian antaranya Ngajat Lesong, Ngajat Bunuh, Ngajat Induk (perempuan), Ngajat Ngalu Temuai ( menyambut tetamu ), Ngajat Pua Kumbu dan Ngajat Tradisional.

Setiap jenis ngajat ini mempunyai maksud dan keunikan tersendiri misalnya Ngajat Bunuh, ia dipersembahkan oleh golongan lelaki dari masyarakat Iban dengan meniru atau mengulang semula adegan yang dilakukan semasa pergi berperang dan melawan musuh.

Ngajat Induk pula adalah persembahan oleh golongan wanita yang memaparkan kelembutan dan kehalusan seni budaya serta adat istiadat masyarakat pribumi itu sendiri.

Gerak tari yang di persembahkan mempunyai maksud yang tersirat serta menggambarkan aktiviti seharian masyarakat Iban.

Sementara itu, tarian Ngajat Lesong merupakan tarian yang di persembahkan oleh golongan lelaki sahaja.

Persembahan ngajat jenis ini hanya dibenarkan untuk kaum lelaki kerana ia memerlukan penarinya yang menari sambil mengangkat lesong menggunakan gigi.

Ngajat Ngalu Temuai pula dipersembahkan bagi tujuan menyambut kedatangan tetamu khas yang datang.

Biasanya tarian ini di persembahan ketika upacara perasmian atau pembukaan sesuatu majlis rasmi yang di hadiri oleh banyak tetamu-tetamu terhormat dan orang ramai.

Selain itu, Ngajat Pua Kumbu yang lazimnya dipersembahkan oleh golongan wanita dan sesuai dengan namanya, penari akan menari sambil membawa kain pua kumbu sebagai alat dalam persembahan mereka.

Tarian ngajat diiringi muzik yang dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sape, iaitu alat bertali seperti gitar.

Penari turut memakai pakaian tradisi seperti ‘sirat’, ‘gagung’ atau baju burung.

Pada masa sama, penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung.

Gagung merupakan sejenis baju yang tebal dan keras yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya.

Satu jenis tarian lagi ialah penari akan memegang perisai kayu di tangan kiri dan pedang di tangan kanan lalu menari seperti berdepan dengan musuh dengan menghayunkan badannya ke kiri dan ke kanan.

Kini persembahan tarian bukan hanya dapat dinikmati ketika perayaan Gawai namun sudah diperkembangkan dan dikomersialkan untuk tujuan memperkukuhkan sektor pelancongan dan memperkasakan budaya di Sarawak.

Source: Utusan Malaysia

Leave a Reply